Pencarian Imam Muda Serba Boleh 27 Mei
Oleh WAHIDUZZAMAN
Dari kiri: Ustaz Shahrizan Daud, Pengetua IM Ustaz Hassan Mahmud Al Hafiz, Pengurus Saluran Astro Oasis Izelan Basar dan Ustaz Syed Norhisyam Al Idrus.
BERPAKSIKAN objektif untuk mencari imam muda yang serba boleh, saluran Astro Oasis memecah tradisi sejarah penerbitan program realiti apabila tampil dengan sebuah program realiti lain daripada yang lain, Imam Muda (IM).
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Tuan Haji Izelan Basar, idea dan konsep program realiti terbaru yang segar ini dianggap berbeza kerana ia tidak pernah diterbitkan dalam mana-mana konsep program realiti sebelum ini.
"Program IM ini dianggap segar dan berbeza daripada mana-mana program realiti yang pernah dihasilkan.
"Belum pernah ada program realiti yang mencari seorang tokoh imam diterbitkan dalam sejarah penerbitan program realiti sebelum ini," katanya.
Tambah Izelan, penerbitan program ini juga disifatkan bersesuaian dengan waktunya. Tanpa perlu runsing soal komersial dan populariti, Izelan berpendapat bahawa sebagai stesen televisyen adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengisi jiwa dan rohani masyarakat dengan program berunsur keagamaan.
Ingin memberi anjakan paradigma dan lari daripada persepsi lazim masyarakat terhadap kriteria seseorang imam, pencarian IM ini bukan sahaja mencari tokoh imam muda yang boleh mengimamkan solat dan hal ehwal agama di masjid, malah menjangkaui kepada skop yang lebih luas.
"Menerusi program ini, kami ingin mencari tokoh imam yang mempunyai kriteria lebih besar daripada pandangan lazim masyarakat. Umum mengetahui, tugas dan peranan imam selama ini sinonim dengan hal nikah kahwin, kematian dan kenduri-kendara sahaja.
"Realitinya, skop tugas seorang imam adalah lebih besar daripada tiga perkara itu. Justeru, menerusi penerbitan program ini kita bukan sahaja ingin mencari tokoh imam muda terbaik.
"Malah, ingin memberi pendedahan kepada penonton tentang tugas dan cabaran seorang imam dalam kehidupan masyarakat Islam khususnya," katanya pada sidang media memperkenalkan pengetua dan dua mentor IM baru-baru ini.
Menerusi IM, peserta akhir yang dijangkakan antara 10 ke 15 orang, berusia dalam lingkungan usia 18 hingga 27 tahun ini akan berentap selama tiga bulan bagi memperlengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan pendedahan yang bersesuaian untuk menjadi imam muda.
"Kami ingin mencari tokoh imam muda yang serba boleh. Seorang imam yang bukan sahaja arif dalam selok-belok agama, malah boleh menguasai pelbagai bahasa, aktif dan cergas bermain pelbagai jenis sukan, kaunselor dan penceramah yang baik dan mahir dalam pelbagai aspek lagi.
"Pendek kata kita hendak mencari tokoh yang serba boleh dan layak daripada aspek keperibadian, kerohanian dan sosial. Dia adalah contoh terbaik yang boleh menjadi ikon remaja Islam hari ini," hurai Izelan.
Pengetua (tengah) bersama dua mentor.
Menyentuh tentang barisan tenaga pengajar di sebalik program 10 episod ini, Izelan berkata, sejajar dengan objektif program yang ingin melahirkan tokoh imam yang berwibawa dan disegani, pihak penerbitan telah menampilkan tiga orang tenaga utama bagi membimbing anak-anak muda ini.
Sehubungan itu, mantan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Hassan Mahmud Al Hafiz dipertanggungjawabkan sebagai pengetua untuk memantau aktiviti pembelajaran dan pembentukan imam-imam muda yang terpilih.
Ustaz Hassan turut diperkuatkan dengan sokongan dua mentor, Ketua Imam di Masjid Muadz bin Jabal, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, Ustaz Shahrizan Daud dan seorang penceramah bebas, Ustaz Syed Norhisyam Al Idrus bagi melancarkan lagi proses pengajaran.
Bagaimanapun, berlandaskan konsep program realiti, kandungan dan persembahan IM perlu diperhalusi dengan suntikan sedikit elemen hiburan agar dapat menarik perhatian penonton.
"Kehadiran program ini memang bersesuaian dengan waktunya. Di saat pelbagai penyakit sosial dan kerohanian masyarakat berada pada paras membimbangkan, pengisian jiwa penonton menerusi program keagamaan sebegini adalah sesuatu yang wajar dan kena pada masanya," kata Izelan lagi.
Program ini baru sahaja selesai proses uji bakat di Kuala Terengganu, Terengganu (zon Pantai Timur), Alor Setar, Kedah (zon Utara), Johor Bahru, Johor (zon Selatan) dan berakhir di Kuala Lumpur (zon Tengah) pada Sabtu lalu. IM bakal bersiaran bermula 27 Mei ini selama tiga bulan di saluran Astro Oasis (saluran 106).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan