Khamis, 20 Mei 2010

Hayatilah Persaudaraan Kerana Allah



Assalamualaikum,

Saudara yang dihormati,

Semoga perjalanan hidup kalian sentiasa dilingkungi rahmat dan di bawah peliharaan-Nya jua. Tasbih dan tahmid hanya untuk khaliq yang Maha Pencipta segala sesuatu. Selawat dan salam buat junjungan mulia, kekasih-Nya, Al-Amin, para sahabah yang setia bersama baginda serta para duat yang sedang dalam perjalanan ke nokhtah kebenaran bersama bebanan tanggungjawab yang terpikul di bahu-bahu mereka.
Sahabat yang dikasihi,
Renungi sejenak firman-Nya yang mulia yang mafhumnya:
"Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah dapat mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.". (surat Al-Anfaat: Ayat 63)

Ikatan akidah Islam itu adalah sekuat-kuat ikatan. Dan, di situlah terbitnya ukhuwah fillah (persaudaraan yang terjalin semata-mata kerana Allah). Keindahan persaudaraan akan terserlah tatkala keimanan yang jitu tersemat di dalam hati.
  
Saudara yang disayangi,
Apabila ditinjau hasil persaudaraan yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w. di jiwa para sahabah, maka di sana terpancarlah betapa mulianya hati-hati yang mampu menghayatinya. Bukan harta sahaja yang sanggup diserahkan hatta nyawa sekalipun sanggup dijadikan cagaran.

Marilah kita rengungi kisah pada zaman sahabah. Sebaik sahaja selesai peperangan, para pejuang meninjau sahabat-sahabat mereka yang masih hidup. Tatkala itu, seorang pejuang terlihat tiga sahabatnya dalam keadaan parah dan tidak bermaya. Dia segera menuju sabahat terdekat yang kehausan, lalu diisyaratkan agar air itu diserahkan kepada sahabat itu. Tatkala air hendak diteguk, terdengar pula rintihan sabahat yang ketiga, lalu diisyaratkan sebagaimana yang dilakukan oleh sahabat yang pertama. Sahabat yang akhir pula sayu melihat keadaan kedua-dua sahabatnya, lalu meminta agar air itu dikembalikan kepada sahabat yang pertama. Apabila tiba pada pahlawan pertama tadi, ternyata dia telah syahid. Pejuang itu segera menuju dua sahabatnya lagi, namun semuanya kembali menemui Allah dengan keagungan sifat persaudaraan yang tertanam di hati mereka.

Demikian manisnya persaudaraan yang tidak didasarkan kepada kepentingan diri. Tidak terdiri atas sikap haloba harta dunia dan tidak tertegak dengan kata-kata manis semata-mata. Akan tetapi, itulah persaudaraan yang hakiki.
  
Lantaran itu,
Kembalilah merengungi hakikat kita hari ini. Persaudaraan yang kita laungkan untuk Allah, yang berdasarkan keimanan yang hanya kepada Allah hakikatnya terlalu jauh berbeza daripada persaudaraan yang diamalkan oleh generasi terdahulu. Jangankan berkorban untuk sahabat, bahkan peringkat persaudaraan yang paling rendah sekalipun, tidak mampu kita realisasikan.

Sedarilah duhai sahabat,
Persaudaraan yang sejati adalah bertitik tolak daripada keikhlasan dan kasih sayang yang benar, semata-mata kerana Allah. Kesilapan yang lalu dijadikan sebagai iktibar dan tidak harus diulangi. Pohonlah bantuan daripada Allah, moga-moga persaudaraan yang kita jalinkan ini akan diredai oleh-Nya.

 Sekadar Hiasan

Jumaat, 14 Mei 2010

"KEMBARA MENUJU HIDAYAH"


Suatu hari, seorang pembuat pensel telah membuat sebatang pensel yang mana pensel tersebut merupakan pensel terbaik yang dia dapat hasilkan. Lalu dia memasukkan pensel tersebut ke dalam sebuah kotak untuk disimpan dan dijual kepada yang berminat. Sebelum memasukkan ke dalam kotak, dia sempat berpesan kepada pensel tersebut dengan beberapa pesanan...


Si pembuat pensel tersebut berpesan,

"Untuk menjadi pensel yang hebat, kamu hendaklah ingat bebarapa pesanan ini"

"Yang pertama untuk menjadi pensel yang hebat, kamu hendaklah membenarkan dirimu dipegang oleh seseorang untuk menjadikan kamu sebatang pensel yang hebat"
"Yang kedua kamu hendaklah membenarkan dirimu disakiti untuk diasah agar mata penselmu sentiasa tajam..."

"Yang ketiga kamu hendaklah meninggalkan bekas diatas apa sahaja permukaan yang kamu lalui"

"Yang keempat kamu hendaklah mengetahui bahawa benda yang paling berharga dalam dirimu iaitu yang batang karbon..."

Lalu setelah berpesan, pensel tersebut dimasukkan ke dalam kotak dan dipamerkan untuk dijual serta berbakti kepada tuannya.


                                                

Sahabat,

Jom kita andaikan kita merupakan pensel tesebut, perkara pertama yang dipesan oleh tuan pembuat kita tadi ialah "kamu hendaklah membenarkan dirimu dipegang oleh seseorang untuk menjadikan kamu sebatang pensel yang hebat". Maka tidak dapat tidak, kita selaku hamba Allah S.W.T hendaklah sentiasa berada didalam genggaman Allah S.W.T agar jalan yang kita tempuhi diatas muka bumi Allah S.W.T mendapat keredhaan-Nya.


Yang kedua kita, "membenarkan dirimu disakiti untuk diasah agar mata penselmu sentiasa tajam...". Disini kita hendaklah membenarkan diri kita sentiasa ditarbiah. Sahabat, tidak dinamakan proses tarbiah, jika tidak disertai dengan dugaan dan air mata. Kita juga hendaklah sentiasa berusaha walaupun terpaksa menempuhi kesakitan kerana itulah proses untuk menajamkan diri kita agar menjadi pensel terbaik.

Yang ketiga, meninggalkan bekas diatas apa sahaja permukaan yang kamu lalui". Disini dapat kita ambil ialah kita hendaklah meninggalkan apa sahaja jasa atau kebaikan di mana sahaja kita berada. Sahabat, tinggal walau sebesar jasa dimana kita berada.

Yang keempat, kamu hendaklah mengetahui bahawa benda yang paling berharga dalam dirimu iaitu yang batang karbon...". Kita sebagai manusia yang beriman hendaklah mengetahui bahawa benda yang paling berharga dalam diri kita ialah hati, seperti mana pensel iaitu batang karbonnya. Ingatlah jagalah hati kita sebaiknya kerana jika baik hati baiklah keseluruhannya, dan jika rosak hati rosaklah segalanya.

Sahabat, kita beruntung sekali menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W. Seharusnya kita perlulah bersyukur keatas nikmat Allah S.W.T yang menjadikan kita umat yang paling mulia iaitu umat MUHAMMAD RASULULLAH S.A.W.



P/S : Mcm xde kaitan jer cerite dgn tajuk pos ni.. sekadar perkongsian... manfaatkan masa cuti untuk mengembara dan terus mengembara menujuh hidayah Allah agar terus tersemat di hati dan isitqomah dengan diri kita hingga ke akhir hayat...

Salam Mujahadah...

al-Faqir Ilallah
Ibnu Jamal as-Sabahi