Rabu, 31 Mac 2010

KISAH INDAH PERSAHABATAN BERSULAM TAQWA bhg 2


 " Dengan itu, iblis mula bertindak menggoda Nabi Ayub. Haiwan ternakan Nabi Ayub mati tiba-tiba.Tidak lama selepas itu, bangsal tempat simpanan hasil pertaniannya terbakar dan ilblis dan para pembantunya telah merobohkan rumah Nabi Ayub yang mewah menyebabkan semua anak Nabi Ayub terkorban"...

Fatimah meneruskan cerita kisah ujian Nabi Ayub a.s seusai kami semua menyelesaikan solat subuh secara berjemaah yang telah diimami oleh aku sendiri dan juga setelah kami menghabiskan bacaan al-mathurat..

Iblis menyangka usahanya berjaya menggoyakkan iman Nabi Ayub kerana beliau sayang kepada anak-anaknya.Namun, Nabi Ayub tetap berserah dan pasrah sepenuhnya dengan keputusan Allah s.w.t. Walaupun baginda sedih dan menangis, hatinya tetap kukuh dan yakin, Allah sedang mengujinya melalui musibah yang menimpa dirinya itu.

Selepas itu, iblis terus berusaha menggelincirkan keimanan dan ketaqwaan Nabi Ayub melalui penyakit kulit yang menjijikan menyebabkan kaum keluarga dan jiran tertangga menjauhinya serta isteri-isteri baginda melarikan diri kecuali isterinya yang setia mendampingi Nabi Ayub dalam keadaan suka dan duka yang bernama Rahmah. Rahmah berusaha sebaik mungkin bagi mentaati suaminya. Rahmah juga kuat imannya pada Allah dan yakin segala yang terjadi adalah kehendak Allah s.w.t.

Dalam waktu tujuh tahun, Nabi Ayub a.s menerima pelbagai musibah dan bencana. Beliau hidup dalam penderitaan secara terus menerus. Sesungguhnya, Allah menurunkan ujian yang berat kepada Nabi Ayub dan Rahmah. Apalagi dalam waktu tujuh tahun itu, tidak ada seorang pun yang membantu mereka, malah mereka dicaci dan diusir dari rumah dan dari kampung mereka.

Nabi Ayub selalu bermunajat pada Allah bagi segala keperluannya. Sementara itu, Rahmah bekerja di kilang roti bagi menanmpung kehidupan mereka. Namun apabila majikannya mengetahui Rahmah adalah isteri Nabi Ayub a.s, dia memberhentikannya dengan alasan, khuatir Rahmah membawa penyakit yang dihidapi Nabi Ayub.

Tidak lama selepas itu, Rahmah pergi meninggalkan suaminya dengan alasan dia perlu mencari pekerjaan bagi menyambung kehidupan. Rahmah pada waktu itu tidak tahan lagi hidup sengsara. Walaupun Nabi Ayub melarangnya, Rahmah tetap dengan keputusannya.

Nabi Ayub berkata pada isterinya, " nampaknya syaitan berjaya menggodamu dan kamu kalah pada pujukannya. Isteriku, kamu mengkhianati Allah. Apabila aku sembuh kelak, aku akan memukulmu sebanyak 100 kali."

Satu-satunya orang yang mengasihi dirinya kini meninggalkannya. Sekarang, Nabi Ayub bersendirian dalam penderitaannya. Baginda bermunajat pada Allah dengan kesungguhan dan kekhusyukan, " Ya Allah, Syaitan mengganguku dengan kepayahan dan kesusahan serta musibah yang selalu mengiringi hidupku. Ya Allah, berikan kekuatan dan ketabahan kepada hambamu yang tidak berdaya ini. Hanya padaMu aku berlindung daripada segala cubaan dan musibah yang menimpa diriku." Kisah ini terkandung di dalam al-quran iaitu surah al-anbiya' ayat 83 - 84.

Allah kemudiannya memerintahkan Nabi Ayub menghentakkan kakinya ke tanah. Allah berkata, " hentakkan kakimu ke tanah, dari situ air akan memancar. Air itu dapat menyembuhkan semua penyakitmu. Minum dan mandilah dengan air itu, kesihatan dan kekuatanmu dapat pulih kembali".

Sementara itu, Rahmah yang sudah meninggalkan Nabi Ayub mula berasa kasihan dan tidak sampai hati membiarkan suaminya tinggal seorang diri, menanggung kepedihan dan penyakit. Dia pun kembali kepada suaminya, namun Rahmah hampir-hampir tidak mengenali Nabi Ayub yang sudah sembuh daripada penyakit. Nabi Ayub kelihatan sihat dan tampan.

Nabi Ayub gembira melihat isterinya kembali ke pangkuannya, namun beliau masih ingat pada sumpahnya iaitu mahu memukul isterinya sebanyak 100 kali. Beliau perlu melaksanakannya tetapi segala suka duka dan pahit getir yang mereka rasakan bersama selama tujuh tahun lalu menjadikan hatinya begitu berat hendak memukul isterinya.

Dalam keadaan bingung dan bimbang itu, Allah menurunkan wahyu kepada baginda. Allah berkata, " wahai Ayub, ambillah lidi 100 batang dan pukullah isterimu sekali sahaja. Dengan itu, tertebuslah sumpahmu". Mendengarkan perintah Allah itu, Nabi Ayub segera melaksanakan sumpahnya. Baginda memukul isterinya dengan penyapu lidi yang mengandungi 100 batang lidi satu kali sahaja dengan perlahan.

Berkat kesabaran dan keteguhan imannya, Allah mengurniakan harta yang melimpah kepada Nabi Ayub dan Rahmah. Mereka juga dikurniakan seorang anak yang dinamakan Basyar. Basyar juga dikenali sebagai Zulkifli yang kemudiannya menjadi nabi dan rasul atas kepercayaan Allah s.w.t.




"inilah serba sedikit kisah mengenai insan mulia yang teguh iman dan ketaqwaan pada Allah s.w.t"..fatimah menamatkan cerita tentang kisah Nabi Ayub a.s dengan mengalirkan air matanya.

Semuanya kemerah-merahan mata menahan sebak mendengar kisah penderitaan seorang nabi yang bernama Ayub ini.Aisyah terus berlari ke bilik sebaik sahaja fatimah selesai bercerita mungkin kerana malu untuk mencurahkan air matanya di depan kami semua.

"subhanallah..sungguh berat ujian Nabi Ayub a.s tetapi baginda tetap sabar dan yakin akan pertolongan serta redha di atas setiap ketentuan Allah s.w.t"..khadijah bersuara.

"Mai tak kan merungut lagi di atas segala ketentuan dan musibah yang Mai hadapi..tapi Mai akan terus bersabar dan hanya mengharapkan pertolongan dari Allah s.w.t"...aku pula menyatakan azamku...

" kita perlu sedar dan sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah berikan pada kita..kita masih ada keluarga,di berikan kesihatan dan pelbagai lagi nikmat yang lainnya..tapi kita je yang sering lupa..walaupun kita telah banyak melakukan maksiat pada Allah s.w.t, Dia tetap juga tidak memutuskan nikmat yang diberikan pada kita semua bahkan Dia mengampun dosa hamba-hambaNya yang bertaubat"..khadijah meninggalkan pesanan untuk kami bersama.

" Fatimah nak kuat dan tabah macam Nabi Ayub a.s...fatimah nak menjadi seorang isteri yang setia seperti Rahmah isteri Nabi Ayub yang sangat dikasihi baginda..fatimah kena berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan diri ini sebagai hamba yang benar-benar beriman dan bertaqwa pada Allah s.w.t"

"Ya Allah hanya padaMu la ku serahkan segala ketentuan, hanya kepadaMu lah ku meminta perlindungan dan pertolongan dan hanya padaMu la aku beribadah dengan seikhlas hatiku ini...semuanya milikMu...depanku hanya adaMu ya ALLAH"

wallahu a'lam...

Selasa, 30 Mac 2010

KISAH INDAH PERSAHABATAN BERSULAM TAQWA bhg 1


Assalamualaikum w.b.t. kepada semua,

Pengalaman hidup telah banyak mengajar manusia mengenai erti kehidupan yang sebenar bahawa tidak ada kehidupan yang lebih indah melainkan kehidupan yang di dasari dengan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Namun, ianya bukanlah suatu yang mudah dikecapi tapi bukan pula suatu yang mustahil untuk diraih.

"bukan namanya hidup tanpa ada ujian, ujian itu tempat Allah menguji tahap keimanan hamba-Nya" ungkapan yang pernah membuat hatiku tersentak suatu ketika dahulu tatkala merasa lemah dengan ujian yang menimpa. 

Namun, mutiara kata yang terluncur dari lidah seorang sahabat yang ikhlas itu telah benar-benar meresap ke dalam hati yang masih lagi dipenuhi dengan mazmumah diri ketika itu untuk meneruskan langkah ke arah yang lebih baik sehinggalah bibit kebahagiaan dan ketenangan itu seolah-olah dapat ku raih walaupun adakalanya ia pergi dan datang semula. Perjalanan masih panjang, jangan terhenti dipertengahan jalan...

Teruskan Perjuangan sehingga ke akhirnya. Ketahuilah, sebanyak atau sebesar manapun ujian yang menimpa diri kita, namun yang pastinya ada insan lain yang lebih hebat diuji namun ia tetap teguh dengan pendirian dan keyakinan. Tanamkanlah keyakinan kepada Allah yang menjadikan kita dengan sepenuh keyakinan, InsyaAllah kita akan mampu meraih kebahagiaan dan ketenangan yang hakiki walau dihujani 1001 dugaan dan ujian. Allah first...

Watak Pencerita : Ainul Mardhiah

Seperti biasa rutin harianku setiap pagi selapas semua hidupan alam tersedar dari jagaan mimpi yang indah sudah terpacak pada pukul 7 pagi di perhentian bas berdekatan dengan rumah sewaku bersama dengan enam lagi sahabatku yang lainya.Zainab kawanku yang berasal dari sabah sangat lucu orangnya tapi seorang jujur pada waktu.Aminah pula orang kelantan yang sangat pemalu perwatakannya tapi mukanya sentiasa senyum bila berjumpa dengan sesiapa pun.Aminah lebih tua setahun dariku.Kawan-kawanku yang lainya adalah Fatimah,Aisyah,Khadijah & Nurul Ain.

Khadijah adalah yang paling tua dari kami semua kerana dia terpaksa menambah pengajiannya satu semesta lagi kerana pada tahun sebelumya dia terlibat dengan kemalangan sehingga terpaksa terlantar berbulan-bulan di hospital.Aku sangat kagum dengan akak aku seorang ni,sangat tabah orangnya,pemaaf,sopan santun dan yang paling kami semua suka pada Kak Khadijah adalah dia merupakan seorang wanita yang sangat peramah sehinggakan bangsa lain juga tertarik ingin bersahabat denganya.

Tiba-tiba… suatu hari,

Kenapa Fatimah menangis?..Fatimah ada masalah ke?..cuba ceritakan pada Kak Mai...

Aku melihat Fatimah menangis di tikar sejadah seusai sahaja dia selesai menunaikan solat sunat rawatib selepas kami serumah solat isyak secara berjemaah yang diimami oleh Khadijah..

"Ye la Fatimah..kenapa fatimah menangis"..tanya pula Kak Khadijah.

"Kalau ada masalah boleh dikongsi bersama,kitakan dah macam adik beradik...Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing"..aku cuba ingin menenangkan fatimah yang masih lagi menangis.

"Fatimah tak pe2 Kak...Fatimah menangis sebab Fatimah teringatkan tentang ujian yang telah dilalui oleh Nabi Ayub a.s...Sungguh berat ujian yang ditanggung oleh Nabi Ayub a.s tetapi baginda tetap sabar dan tidak pernah sekali-kali merungut pada Allah s.w.t..Fatimah sebenarnya malu pada diri Fatimah sendiri yang kadang-kadang banyak merungut pada ujian Allah s.w.t"

Tersentak hatiku mendengar penjelasan Fatimah berkenaan apa yang ditangisinya. Dari dulu lagi aku memerhatikan akhlak Fatimah, tiada satu pun yang aku tidak sukai melainkan semuanya menjadi penyejuk hati seorang sahabat.

"Boleh tak Fatimah ceritakan pada akak tentang kisah Nabi Ayub a.s itu.akak dah lupa"..minta Kak Khadijah..

"InsyaAllah,Fatimah akan ceritakan"...


Iktibar Kisah Ketabahan dan Keikhlasan Nabi Ayub A.S.


Semua mailaikat yang berada di langit berasa takjub dan kagum atas kepatuhan dan ketaatan nabi Ayub pada Allah. Hal itu menjadikan iblis iri hati dan dengki kepada Nabi Ayub. Iblis kemudian cuba meruntuhkan iman Nabi Ayub dengan pelbagai godaan, namun Nabi Ayub tetap teguh imannya. Iblis tidak putus asa atas kegagalannya, dia memburuk-burukkan Nabi Ayub supaya Allah menurnkan cubaan kepada Nabi Ayub.

Iblis berkata, " Wahai Tuhan, sebenarnya Ayub yang selalu patuh dan berbakti menyembahmu serta selalu memujimu hanya melakukan demikian kerana dia takut kehilangan nikmat yang engkau berikan kepadanya. Segala ibadah yang dia lakukan tidak ikhlas, dia hanya inginkan harta yang dimilikinya terus menjadi miliknya. Saya yakin sekiranya musibah yang menimpanya dan mengakibatkan dia kehilangan harta benda, anak-anak dan isterinya, ia pasti berpaling darimu dan tidak mahu mentaati serta menyembahmu lagi. Cubalah buktikan!

Selepas mendengar kata-kata iblis, Allah menjawab,.."engkau memang penghasut yang sesat dan penunggu neraka. Bukankah Aku adalah Tuhannya yang menciptakannya, tentu aku lebih tahu daripadamu. Dengar baik-baik wahai syaitan laknat. Sesungguhnya Ayub adalah hambaku yang taat dan seorang mukmin yang sejati.Apa yang dia lakukan bagi mendekatkan diri padaKu adalah semata-mata didorong oleh iman yang teguh dan kuat padaku.Iman dan ketaqwaannya tidak goyah dengan kenikmatan duniawi.
Cintanya kepadaKu dan kebajikannya tidak akan menurun dan berkurangan walau dia ditimpa musibah. Dia yakin apa yang dia miliki adalah pemberianKu yang dapat Aku ambil daripadanya. Aku juga boleh menambahkannya berlipat kali ganda.Dia bersih daripada segala tuduhan dan prasangkamu.

Engkau wahai Iblis tidak rela melihat hamba-hambaKu, anak cucu Adam berada di atas jalan yang lurus. Demi menguji keteguhan hati Ayub, aku izinkan engkau menggoda dan memalingkannya daripadaKu. Kerahkan pembantu-pembantumu menyesatkan Ayub melalui harta, kedudukan, kehormatan, anak dan isteri-isterinya. Cerai-beraikan keluarganya yang bahagia, lihatlah sampai mana kemampuanmu menyesatkan hambaKu yang benama Ayub itu.

Fatimah khusyuk menceritakan kisah Nabi Ayub kepada kami...

"errm..Kak,boleh tak Fatimah sambung selepas solat subuh esok?...Fatimah ada meeting Team Elit Muslim jap lagi"...

"alah..baru nak fill..ok la kalau macam tu..tapi janji ye lepas solat subuh esok Fatimah sambung cerita ye"..balas aku dan khadijah.

Bersambung…

Isnin, 29 Mac 2010

Dosa menghalang Cahaya Ilmu



 Hati tempat jatuhnya pandangan Allah...
Hubungan hati dan akal
Kekuatan akal mempunyai hubungan yang kuat dengan hati manusia sehingga kita akan dapat menemui di dalam al-Quran dan hadith serta sirah salafussoleh yang memperihalkan mengenai keadaan ini.
Maksud firman Allah s.w.t. :
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada.” (al-Hajj : 46)

Maksud sabda Nabi s.a.w. :
“Akal itu adalah cahaya dalam hati yang dapat membezakan antara yang benar dan yang palsu. Ketahuilah bahawa, perbandingan akal dalam hati adalah seperti perbandingan lampu di dalam rumah.”

Al-Imam al-Syafie pernah mengeluh dan bersedih menanggung kesan dan akibat maksiat yang beliau rasakan dalam hatinya, beliau mengadu kepada Waki’ (salah seorang guru beliau) dalam untaian syairnya:
Aku mengadu kepada Waki’mengenai buruknya hafalanku; beliau memberi petunjuk kepadaku agar aku meninggalkan maksiat; Beliau berkata: Ketahuilah bahawa ilmu adalah cahaya; sedangkan cahaya Allah tidak mungkin diberikan kepada pelaku maksiat.”

Menurut Imam al-Ghazali :

“hati itu ibarat cermin, apabila terang cerminnya, maka teranglah segala maklumat atau ilmu pengetahuan yang diterima.”
 
 Semoga kita terhindar daripadanya dalam keadaan sedar ataupun tidak...

Maksiat melemahkan kekuatan hati
MAKSIAT memiliki pengaruh bahaya dan buruk bagi hati serta fizikal manusia.
 Antara pengaruh buruk serta bahaya dosa, ia akan memadamkan cahaya ilmu yang dikurniakan Allah dalam hati. Imam Malik pernah mengagumi kecerdasan Imam Syafie yang masih muda, memiliki ketajaman otak dan kesempurnaan pemahaman.
 Imam Malik berkata: “Aku melihat Allah meletak cahaya dalam hatimu, kerana itu jangan kamu padamkan dengan kegelapan maksiat.”
Sementara itu, Imam Syafie pernah menceritakan pengalaman peribadinya dalam bait syair; Saya mengadu pada guru Waqi’ mengenai mutu hafalanku yang buruk, maka ia mengarahkan supaya aku meninggalkan maksiat. Ia berkata, “Ketahuilah ilmu adalah kemuliaan dan kemuliaan Allah tidak diberikan kepada ahli maksiat.”

Rezeki tidak lancar
Dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan.” Seperti ketakwaan kepada Allah mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan kekafiran.

Keterasingan antara Allah
Seorang yang melakukan maksiat akan menemukan perasaan terasing antara dirinya dan Allah dalam hatinya. Keterasingan ini tidak boleh diganti dan dinilai dengan kenikmatan apa pun. Andainya semua kelazatan di dunia disatukan, maka tetap tidak boleh mengubati perasaan keterasingan itu. Perasaan itu hanya ada pada hati yang hidup, sementara hati mati tidak mempunyai perasaan itu.
Ada seorang lelaki mengadu perasaan keterasingan pada dirinya kepada ahli makrifat lalu dijawab: “Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirinya kerana berbuat dosa, segeralah tinggalkan dosa itu dan temui ketenteraman hati dalam berbuat taat. Ketahuilah, tidak ada hati yang rasakan keterasingan kecuali kerana dosa.”



Keterasingan antara manusia
Perasaan terasing bukan hanya terjadi dengan Allah tetapi juga manusia terutama dengan mereka yang melakukan kebaikan.

Allah akan menyulitkan urusannya
Orang yang melakukan maksiat akan selalu menemui jalan buntu pada setiap urusannya. Orang yang bertakwa kepada Allah akan menemui kemudahan pada urusannya sebaliknya mereka yang jauh daripada takwa disulitkan urusannya.

Kegelapan dalam hati
Kegelapan itu nyata dalam hatinya seperti melihat dan berasakan gelapnya malam. Ini kerana ketaatan adalah cahaya sementara maksiat adalah kegelapan. Semakin kuat kegelapan dalam hati maka seseorang itu terus dalam kebingungan. Akibatnya ia terjatuh dalam kesesatan dan hal yang menghancurkan tanpa disedari.

Maksiat melemahkan kekuatan hati
Maksiat melemahkan hati dan kelemahan fizikal disebabkan lemahnya hati. Semakin kuat hatinya, semakin kuat fizikalnya. Ahli maksiat, meskipun fizikalnya kuat tetapi apabila diperlukan dan dalam keadaan terdesak, kekuatan fizikal mereka tidak berdaya.
            Renungkan bagaimana kekuatan fizikal kaum Rom dan Parsi yang mengkhianati mereka ketika memerlukannya hingga dengan mudah orang beriman menakluki kekuatan fizikal dan hati mereka.

Malas mengerjakan ibadat
Orang yang melakukan maksiat akan malas melaksanakan amal ibadat. Sedangkan setiap bentuk ketaatan kepada Allah nilainya melebihi dunia dan segala isinya.

Terbiasa berbuat dosa
Maksiat melunturkan persepsi buruk mengenai dosa dalam hati seseorang. Ertinya, dia tidak akan berasa bahawa dosa yang dilakukan adalah perbuatan buruk. Akibatnya, dosa menjadi sebahagian daripada kebiasaan. Keadaan ini membahayakan diri sendiri.
Walaupun dilihat dan dicerca, dia tidak rasakan dirinya terhina. Perasaan seperti itu adalah kesenangan dan kenikmatan daripada pelaku maksiat. Bahkan, ada yang bangga menceritakan maksiat yang dilakukan.
Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan dimaafkan oleh Allah kecuali muhajirun (yang terang-terangan berbuat maksiat. Termasuk mujaharah adalah ketika Allah menutupi seseorang berbuat maksiat, tapi pagi harinya ia membuka aibnya sendiri. Ia mengatakan, “Hai teman, semalam aku melakukan ini dan itu.” Dia merobek kehormatannya sendiri ketika Allah menutupnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Banyak melakukan dosa membuatkan hati seseorang itu rosak kerana bercampur antara baik dan buruk. Maka jadilah hatinya seperti yang pernah disabdakan Nabi s.a.w. yang bermaksud :
“(Hati yang) tidak lagi menganggap baik perkara yang baik dan tidak menganggap buruk perkara yang buruk melainkan apa yang disukai oleh hawa nafsunya.”


Akhir Kalam,
Mari kita sama-sama menyelami hakikat Buta dan Celik menurut perspektif al-Quran dan as-Sunnah serta para salafussoleh agar kita lebih berhati-hati terhadap kelalaian dan sifat tidak mengambil peduli mengenai perihal dosa atau maksiat ini.
Buta mata indera celik mata hati vs Celik mata indera buta mata hati
Maksud firman Allah s.w.t. :
Sesungguhnya penglihatan (mata kasar) itu tidaklah buta, tetapi yang buta itu ialah (mata) hati yang ada di dalam dada.” (al-Hajj : 46)
Orang yang celik mata hati dapat melihat arah, tujuan, jalan, bekalan, dorongan, halangan dan akhiran hidupnya menurut pandangan pencipta-Nya.

Maksud firman-Nya :
“Dan tidaklah aku ciptakan (makhluk) dari kalangan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-KU.” (Adz-Dzaariyaat : 56)

Seseorang yang telah sedar akan hakikat ini akan memiliki satu dorongan yang menggelodak dalam fikiran, jiwa dan emosinya yang menuntut pada perubahan. Kesedaran adalah gerbang awal ke arah perubahan diri. Manusia umpama orang yang sedang tidur, tidak mungkin kita boleh terus mengajaknya bertindak tanpa mengejutkannya terlebih dahulu.
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu member manfaat kepada orang-orang beriman. (Adz-Dzaariyaat : 55)

Universti : Antara Sijil dan Amanah keilmuan?
Pandangan mata yang celik menjurus kea rah memperoleh sijil samada diploma ataupun Ijazah.
Pandangan mata hati yang celik akan lebih memfokuskan kepada amanah keilmuan iaitu mempelajari, menghayati, mengamalkan dan seterusnya menyampaikan.
Jika kedua-duanya celik, andalah yang bakal menjadi insan yang terbaik, cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan di akhirat. InsyaAllah… 
kita berada di golongan yang mana?
tepuk dada, rasakan dekat hati, tanya iman...
Apa khabar iman aku hari ini?
 

Wallahu a’alam…

Isnin, 22 Mac 2010

Dari Blog ke Blog


Artikel ini sengaja dikongsikan untuk sahabat-sahabiah mahasiswa pengajian Islam Dakwah 09/12 UDM yang dirahmati Allah s.w.t. mengenai betapa indahnya tarbiyah sebenarnya walaupun adakalanya agak pahit untuk ditelan.
Namun ketahuilah, ubat penyembuhan biasanya kita perolehi daripada sesuatu yang tidak kita sukai. Artikel ini merupakan pengalaman yang dilalui oleh seorang senior yang saya kagumi daya kepimpinannya semasa berada di Darul Quran sehinggalah ke hari ini. Sehinggakan adakalanya saya turut terpengaruh dan suka membuat provokasi kepada sahabat dan sahabiah dalam persoalan-persoalan yang saya lontarkan samada di dalam kelas mahupun di luar kelas.
Mohon maaf sekiranya ada yang tidak senang dengan saya (Pengendali Blog)

"Anta ni Pijan, kenapa lemah sangat? Ana rasa soalan yang ditanya malam tu tidak terlalu sukar untuk anta bahaskan.Bila ana tambah sikit je, anta terus lemah semangat, terus berhenti berhujah dan terus duduk. Kecewa ana," saya meluahkan perasaan saya kepada adik usrah saya itu dalam perjalanan pulang kami dari kuliah subuh di Labu, Negeri Sembilan.

"Abang tu, provok lebih sangat. Tension ana," jawapan ringkas Hafizan sambil terkebil-kebil matanya menahan mengantuk sambil memandu. Mana tidaknya, naqibnya ini "menzalimi" dirinya semalam. Memandu lebih 100 km dari Bangi ke Darul Quran untuk berforum. Pukul 12 tengah malam teruskan perjalanan pula kira-kira 140 km untuk ke Labu Negeri Sembilan. Saya membiarkan Hafizan memandu sedangkan saya hanya tidur. Kami hanya tidur di jalanan. Saya tambah bersimpati apabila Hafizan meneruskan ceritanya, beberapa kali hampir kemalangan kerana terlelap malam itu. Saya tidak tahu apa-apa kerana sekadar tenang tidur di kerusi hadapan. Luahan Hafizan tadi menyebabkan saya berfikir panjang. "Teruk sangatkah aku membuat provokasi kepada dia dan sahabat-sahabat lain?". Lalu, saya terkenang nostalgia-nostalgia silam....

Nostalgia

Ramai yang telah menjadi mangsa "kezaliman" tindakan provokatif saya termasuklah pimpinan yang bersama saya, sahabat-sahabat seusrah, peserta program dan lain. Pernah saya melayan adik-adik usrah saya dengan lemah lembut. Tetapi banyak juga yang saya berkasar. Sama ada tindakan, lisan atau soalan. Saya berpandangan, marhalah tarbiyyah itu wajib berubah dan bukan statik. Maka metodologi setiap marhalah juga perlu berubah.

Saya masih ingat nostalgia saya menengking adik-adik usrah saya sehingga menangis. Saya bangkitkan beberapa tindakannya yang saya rasa tidak sesuai. Ada yang saya sengaja tokok tambah untuk "memanaskan" keadaan. Saya kira inilah yang menyebabkan saya sangat dibenci ketika itu. Kebencian ketika itu mungkin menyebabkan seorang adik usrah saya sudah tidak boleh memandang wajah saya. Meraung, menangis sehingga tidak mampu bangun lagi. "Ana down sangat. Ana dah tak yakin pada diri ana. Ana tahu, ana hina! Tak layak berusrah dengan abang!", luah adik saya itu sambil menangis teresak-esak. Saya sengaja menunjukkan reaksi yang tidak bersimpati kepadaanya. "Biarkan sebentar dia melayan air matanya, saya nak tengok dia dengan hidup baru esok", bisik hati saya sambil dalam keadaan optimis. Maafkan saya, saya rela dibenci.


Ada adik seperjuangan saya yang kini sudah menjadi mahasiswa di UIAM Kuantan. Saya suka sengaja berbeza pandangan dengannya. Cetuskan soalan kontrovesi dengannya. Saya suka sikapnya yang "gilakan" membaca dan belajar. Dia juga antara mangsa soalan provokatif saya. Tidak kira sama ada bila bertemu, YM dan sebagainya. Apabila dia keluarkan pandangan dari soalan saya, saya akan keluarkan pandangan kontra dengannya walaupun sebenarnya pendirian saya adalah sama sebenarnya. Saya sebenarnya kagum dengan pengetahuannya. Namun, saya rasa rugi kalau orang sebegini tidak diasah agar menjadi manusia hebat satu hari nanti.


"Ana rasa soalan macam ni ana tak jawab pun tak apa. Sebagai pimpinan, anta/ti pun boleh buat keputusan sendiri. Takkan semua benda nak kena tanya ana?" pernah saya timbulkan soalan kembali kepada beberapa pimpinan persatuan saya apabila dibangkitkan soalan yang remeh temeh pada pandangan saya. Ayat saya mungkin pedas, saya harap sahabat-sahabat dapat maafkan keterlanjuran saya. Namun, pandangan saya, sebagai pimpinan, ada beberapa perkara yang perlu kepada "ijtihad-ijtihad" kecil yang boleh dibuat walaupun bukan seorang presiden atau yang dipertua. Saya hanya tidak mahu melihat pimpinan saya malas berfikir.

"Ana tak pernah menikmati kemanisan usrah", luah Nazri kepada saya dan sahabat-sahabat sambil menceritakan kisah hidupnya sejak di sekolah dan Darul Quran. "Anta mungkin bernasib malang "terpaksa" bersama usrah ana ketika ini. Ana tidak akan melayan anta macam marhalah "ta'rif". Tidak akan "dibelai" tapi mungkin "dipukul". Maafkan ana," itu sahaja yang mampu saya jawab. Saya selalu mengingatkan beberapa ahli usrah saya perkara tersebut. Bagi saya, beberapa ahli usrah saya agak sudah lewat untuk "dibelai". Bagi saya, pada marhalah awal mungkin setiap soalan yang ditanya perlu dijawab dengan jawapan berbentuk ayat penyata. Namun, pada marhalah berikutnya, mungkin soalan akan dijawab dalam bentuk soalan. Saya mohon maaf, jika tindakan sedemikian menyebabkan ada yang tidak senang berusrah dengan saya.

Ramai menjadi mangsa "kezaliman" saya. Ada kalanya saya akan menyampuk pembentangan dan perbincangan dengan soalan-soalan provokasi apabila saya kurang berpuas hati dengan hujah dan pandangan. Ada yang semakin rancak setelah disoal dan ada yang hilang ideal apabila disanggah. Bagi saya, tidak mengapa. Ini proses latihan. Latihan agar lebih bersedia pada masa akan datang dan latihan keyakinan.

Saya bukan ingin membalas dendam. Tetapi saya rasakan elemen provokasi releven untuk kaderisasi yang lebih berkualiti. Saya berterima kasih kepada para guru yang berjiwa murabbi serta senior-senior yang banyak melemparkan elemen provokatif kepada saya satu ketika dahulu. Jasa mereka sedikit sebanyak membantu saya meneruskan perjuangan yang masih jauh ini.


Edward De Bono dan pemikiran lateral

Saya sempat menelaah pandangan Edward De Bono dalam melatih pemikiran lateral.Saya melihat, kaderisasi masa hadapan penting untuk memiliki pemikiran lateral ini. Minda akan semakin kuat, ligat, lasak dan kreatif. Pemikiran Lateral inilah yang akan mencambahkan idea-idea baru dalam gerakan dan menyuburkan metodologi yang pelbagai dalam mencapai matlamat. Saya lihat, minda perlu diasak agar tidak malas dan banyak beralasan. Dua penyakit ini iaitu "malas dan banyak alasan" semakin membarah di kalangan anak muda.

Salah satu teknik pemikiran lateral ialah "provokasi". Edward De Bono telah mencipta satu perkataan yang baru yang disebut PO.Perkataan ini bermakna “apa yang mengikuti selepas ini adalah provokasi semata-mata”.Ayat provokasi mengandungi idea-idea provokatif. Fungsi idea-idea itu ialah sebagai batu loncatan yang digunakan oleh minda supaya kita dapat melompat keluar daripada pola-pola rutin. Setelah kita membina idea provokasi, kita akan menggunakan operasi “mengerakkan” untuk membawa idea tersebut ke hadapan.Edward De Bono mengemukakan lima sumber provokasi iaitu provokasi tidak sengaja, penyongsangan, lari,angan-angan kosong dan gila-gila.

Saya hanya mahu menjadi "helang palsu"

Sebelum ini saya pernah membawakan perbandingan yang dibuat oleh Badiuzzaman Said Nursi : Ketika pipit terbang di langit, helang adalah pemangsa. Pipit semakin kuat, kreatif dan bijak kerana adanya helang yang sentiasa mahu menyerang.

Bagi menjawab soalan persoalan yang menjadi topik artikel ini, ingin saya jelaskan, saya hanya mahu menjadi "helang palsu" semata-mata. Bukan helang yang ingin menjadikan pipit sebagai makanan, akan tetapi "helang" yang ingin melihat "pipit-pipit" yang lebih baik darinya. "pipit" yang kuat, kreatif, bijak dan sebagainya. Saya sedia infaqkan diri saya sebagai "helang palsu" yang rela dibenci, asalkan "pipit-pipit" semakin kuat.

Artikel ini sekadar penjelasan tindakan saya yang mungkin boleh mencetus ketidak senangan di hati beberapa sahabat-sahabat saya. Saya yakin, pasti ada salah silap dan keterlanjuran. Saya mohon maaf jika ada keterlanjuran dalam proses ingin menjadi "helang" ini.


Sabtu, 20 Mac 2010

Kisah CAWAN

Kisah ini merupakan satu teladan kepada kita semua tentang kenapa selama ini kita sering ditimpa dugaan yang adakalanya sukar untuk kita tanggung dan terlalu menyakitkan.

Sepasang datuk dan nenek pergi belanja di sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian mata mereka tertuju kepada cawan yang cantik. "Lihat cawan itu," kata si nenek kepada suaminya. "Kau betul, inilah cangkir tercantik yang pernah aku lihat," ujar si datuk. Pada ketika mereka mendekati cawan itu, tiba-tiba cangkir yang dimaksud berbicara,

"Terima kasih untuk perhatian anda, perlu diketahui bahwa aku dulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cawan yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun suatu hari ada seorang penjunan dengan tangan kotor melempar aku ke sebuah roda berputar. Kemudian ia mulai memutar-mutar aku hingga aku merasa pening. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, 'Belum !' Lalu ia mulai menyodok dan meninju aku berulang-ulang. Stop! Stop ! teriakku lagi. Tapi orang ini masih saja meninjuku, tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi ia memasukkan aku ke dalam api. Panas! Panas ! Teriakku dengan kuat. Stop ! Cukup ! Teriakku lagi.Tapi orang ini berkata, 'Belum !' Akhirnya ia mengangkat aku dari api itu dan membiarkan aku sampai sejuk. Aku fikir, selesailah penderitaanku. Oh ternyata belum. Setelah sejuk aku diberikan kepada seorang wanita muda dan ia mulai mewarnai aku. Asapnya begitu memualkan. Stop ! Stop ! Aku berteriak. Wanita itu berkata, ' Belum !' Lalu ia memberikan aku kepada seorang lelaki dan ia memasukkan aku sekali lagi ke api yang lebih panas dari sebelumnya ! Tolong ! Hentikan penyiksaan ini ! Sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya.Tapi orang ini tidak peduli dengan teriakanku. Ia terus membakarku. Setelah puas "menyiksaku" kini aku dibiarkan sejuk. Setelah benar-benar sejuk seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku dekat kaca. Aku melihat diriku.Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya, kerana di hadapanku berdiri sebuah cawan yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaanku yang lalu menjadi sirna tatkala kulihat diriku." Datuk dan nenek itu terdiam membisu. Lalu diceritakan kisah itu kepada cucunya.

Pengajaran:

Seperti inilah kehidupan membentuk kita. Dalam perjalanan hidup akan banyak kita temui keadaan yang tidak menyenangkan, sakit, penuh penderitaan, dan banyak air mata. Tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengubah kita supaya menjadi 'cantik'.

Jangan lupa bahawa cobaan yang kita alami tidak akan melebihi kekuatan kita. Ertinya tidak ada alasan untuk tergoda dan jatuh dalam dosa apabila anda sedang menghadapi ujian hidup, jangan kecil hati, kerana Tuhan sedang membentuk anda. Bentukan-bentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai. Anda akan melihat betapa cantiknya Tuhan membentuk anda untuk kehidupan yang lebih baik dan bermakna di hari kemudian dan hari pembalasan(akhirat).

WAllahu a'lam

Isnin, 15 Mac 2010

12 BARISAN DI AKHIRAT


Suatu ketika, Muaz bin Jabal ra mengadap Rasulullah SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT: "Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris" Surah an-Naba':18. Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab: "Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri...." Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :-

BARISAN PERTAMA - Diiring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA - Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETIGA - Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. "Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEEMPAT - Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. "Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka..."

BARISAN KELIMA - Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. "Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEENAM - Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.
"Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETUJUH - Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. "Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KELAPAN - Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. "Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEMBILAN - Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEPULUH - Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEBELAS - Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA BELAS - Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan:

"Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih..."

Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah, maka garanglah terhadap dirimu sendiri. Jika engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah, tahulah engkau betapa peritnya berpisah denganNya.

Disediakan oleh : Timb. Akademik Dakwah B

Khamis, 11 Mac 2010

Perkongsian Dari Blog Pilihan...

Nafar ke Medan Juang

“Ini bicara Allah kepada kamu. Rasakan yang Allah sedang bercakap secara khusus kepada kamu,” kata Ustaz Harun kepada kami.

Angin desa di Kubang Lembek tengah hari itu damai sekali. Tidak terasa terik mentari membakar siang.
Saya dan beberapa rakan tekun mendengar.


“Ayat ini adalah mahkota penuntut ilmu di jalan Allah. Ke mana sahaja kamu pergi, junjunglah ayat ini,” pesan Ustaz Harun lagi, melangsaikan pertemuan kami tengah hari itu.

Sudah menjadi suatu kemestian, saya dan rakan-rakan selalu mencari ruang dan peluang untuk bertemu dengan alim ulama’. Pada usia akhir belasan tahun, kami sedang mengorak langkah untuk jejak ilmuwan. 

Nasihat dan mutiara kata para ulama’ yang berjiwa mursyid itu menjadi dambaan kami, buat bekalan kembara diri… yang panjang itu nanti.

Ustaz Harun mensyarahkan kepada kami kalam Allah yang terungkap pada surah al-Taubah ayat 122:

9_122

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga.” [al-Taubah 9: 122]


DI CELAH KEGENTINGAN TABUK

Musim panas dan pohon tamar berbuah ranum.

Tuaian harus disegerakan untuk manfaat bekalan keperluan hidup setahun mendatang.

Dalam suasana itulah Allah SWT menguji kaum mu’minin untuk turun berjuang. Jangan terkecuali walaupun seorang. Namun segalanya terhasil dengan hikmah yang besar. Sekumpulan sahabat tercicir dengan alasan dan situasi masing-masing. Mereka ditegur dan diperbetulkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan cara yang amat menusuk kalbu. Pengajaran kekal yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Peringatan itu menjadikan para sahabat begitu peka dan responsif terhadap perintah jihad. Hingga tiada langsung yang berlengah. Tatkala ada sub misi (sariyyah, bukan ghazwah) yang dilancarkan oleh Baginda allallaahu ‘alayhi wa sallam, kesemua sahabat menyertainya hingga baginda ditinggalkan sendirian di kota. Lalu turun ayat ini memberi peringatan, bahawa sebesar mana sekali pun suatu misi, adalah tidak wajar untuk kaum mu’minin itu keluar semua sekali memenuhi agenda yang satu.

Dalam kewajipan melaksanakan jihad, kewajipan menuntut ilmu beriringan sedarjat.



MENUNTUT ILMU ITU JUGA NAFAR

Falaulaa nafara…

Keluar menuntut ilmu, digelar Allah dengan kalimah nafara, iaitu kalimah yang lazimnya hanya terguna pada mengungkapkan soal keluar berjihad perang di jalan Allah. Pemilihan kalimah itu harus kita teladani, bahawa Allah SWT mahu kita melihat proses menuntut ilmu di jalan Allah sebagai suatu medan tempur. Justeru persiapan kaum yang keluar berperang, harus juga menjadi persiapan yang sama buat penuntut ilmu di jalan Allah.


Peperangan Itu Susah

Penuntut ilmu juga harus menyediakan fizikal, mental, emosional dan spiritual mereka terhadap hakikat ini, bahawa jalan yang dipilih adalah jalan yang penuh ujian dan kesusahan. Pertaruhannya adalah segala milikan diri, dari masa, tenaga dan harta, hinggalah kepada nyawa dan survival jiwa.

2_155

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan secebis perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” [al-Baqarah 2: 155]

“Sudah diberi biasiswa takkanlah susah lagi?” terdetik di bibir rakan-rakan mengulas kehidupan yang bakal kami tempuh.

Hakikatnya, soal kewangan yang sering menjadi fokus kerisauan, bukanlah cabaran terbesar belayar di perantauan. Mungkin dalam sederetan ujian yang mendatang, musibah besar yang sering mengorbankan seorang penuntut ilmu ialah sebuah KEBEBASAN. Bebas terbang ke sana sini, tiada lagi leteren dan hambatan kawalan yang menghantui. Segalanya bebas.

Dan kebebasan itulah yang sering memutuskan tali pada sebuah layang-layang.

Terbang tinggi tidak ke mana, hingga nanti jatuh ke tanah berlumpur hina.


Peperangan Harus Terancang

Tidak wajar sekumpulan wira terjun ke medan perang sebagai bidan terjun.

Peperangan itu besar. Nilainya besar, harganya besar, pengorbanan untuknya juga besar. Jadi, langkah ke arahnya jangan mula bertapak hingga jelas di fikiran apa yang dimahukan. Begin with the End in Mind, adalah suatu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah. Apa yang mahu dituntut, mengapa ia perlu dituntut, malah soalan semudah “kenapa mahu jadi ustaz“, mesti difikirkan masak-masak. 

Terikut-ikut sentiasa menjadi musibah bagi apa jua aspek kehidupan. 

Apa yang saya cari?

Bakal terlepas peluang kenduri kendara kahwin adik beradik.

Bakal tercampak sunyi di negeri orang.

Bakal membiarkan bonda sunyi sendirian di desa nan sepi.

Bakal berpisah yang mungkin bertanda mati!

Besar sekali harga sebuah perjalanan kembara ilmu yang bakal dilakar ini.

Apakah yang saya cari?

Soalan tentang hal ini saya fikirkan sehadam-hadamnya. Pengajian Islam bukan tiada di negeri sendiri. 

Mengapa saya mengambil keputusan untuk mengembara jauh? Apa yang saya cari? Salji? Glamor? Naik kapal terbang? Siar gambar raya di surat khabar Ramadhan demi Ramadhan? Apa yang saya cari?

Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya ciptaan Allah. Dia yang Maha Bijaksana lagi Sempurna. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluq Allah yang istimewa, dan kembara ke bumi Anbiya’ ini adalah untuk mencari keistimewaan itu.

Menjadi pewaris Anbiya’ bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dalam pesanan Allah di dalam ayat ini.


Peperangan Harus Ada Kemahiran

Mustahil pergi berperang hanya dengan tawakkal yang kosong. Itu bohong. Mendustakan Sunnatullah yang diwajibkan Allah ke atas alam ini.

Kata bijak pandai:

“Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik”

Niat yang baik adalah tuntutan Syariatullah, perancangan yang direalisasikan oleh kemahiran secara sistematik pula adalah Sunnatullah yang melengkapkannya. 

Justeru, keinginan untuk mewarisi perjuangan para Anbiya’, harus menyeluruh mencakupi seluruh kelebihan para Anbiya’. Siddiq pada hati, akal fikiran, perkataan dan perbuatan. Amanah menjadi integriti diri yang mengikat segalanya agar sentiasa berhubung dengan Dia. Tabligh dalam erti kata hidup untuk menyampaikan, memberi dan berkongsi kebaikan seluas alam. Fathanah, kebijaksanaan dan nilai kompetensi yang luas untuk digarap oleh insan yang optimum dalam perjuangan mereka.

Cerdik tapi tak baik, jadi penipu.

Baik tapi tak cerdik, jadi mangsa penipu.

Pendakwah mesti cerdik. Kemahiran mesti tinggi. Di atas kesedaran itu, saya letakkan azam yang tinggi, bahawa agenda di bumi Anbiya’ nanti bukan hanya pada melangsaikan silibus di bilik kuliah. Kemahiran bahasa, kemahiran ICT, kemahiran berfikir, kemahiran berkomunikasi, dan segala ilmu kendiri, mesti digarap tanpa berlengah-lengah dan bersantai diri. Pewaris Anbiya’ mesti outstanding!


Peperangan Harus Kenal Kawan dan Lawan

Peperangan itu licik.

Lawan disangka kawan.

Kawan dijadikan lawan.

Tipu daya di dalam sebuah pertempuran sering mengelirukan. Dalam tempoh masa yang terhad dan penuh kegentingan, seorang penuntut ilmu di jalan Allah harus peka sepeka mujahid fi sabilillah. Matanya harus cepat membaca suasana. Setiap manusia dan kehidupan yang melintas di depan mata harus cepat dikenal pasti, apakah itu kawan yang menawarkan kebaikan, atau lawan yang menjanjikan kebinasaan.

Penuntut ilmu di jalan Allah mesti berhati-hati.

Melihat segalanya dengan mata hati.


Peperangan Menjanjikan Ghanimah

“Anak cikgu sambung belajor di manaaa?” tanya jiran saya.

Emak yang sedang menyapu daun kering di bawah pohon rambutan menoleh.

“Dia sambung belajo ke Jordan. Bidang agama,” kata emak. Senyum seribu makna dilemparkannya.

“Oh ye ke.. elok bebenor le tu, cikgu. Orang belajor agama ni, Allah Taala sumpah depa takkan mati lapor!” balas makcik tersebut. Bahasa orang kampung, tapi maknanya mendalam sekali.

Saya tersenyum sendirian, tatkala mendengar Ustaz Harun menghuraikan ayat ini. Teringat kembali kepada dialog antara emak dengan jiran petang itu. Saya yang melangut di tangga rumah teruja mendengar sumpah Allah yang disebut makcik tersebut. Janjinya begitu, namun jalannya harus disuluh secara realistik. Segalanya tidak mudah, namun mati kelaparan tidak sekali-kali.

Kemurahan Allah SWT mengurniakan bekalan hidup buat manusia yang mewakafkan dirinya di medan perjuangan ini. Dunia tidak menghukum lapar dan mati ke atas penuntut ilmu di jalan Allah. Rezekinya ada, di mana-mana. Tetapi rezeki itu halus garis pemisah di antara buruk dan baiknya. Rezeki yang datang melapangkan jalan untuk terus berjuang. Tetapi ada juga rezeki yang membutakan jiwa penuntut ilmu di jalan Allah, hingga tenggelam dalam KEPERLUAN mengatasi TUJUAN.

Apa yang diperjuangkan bukan lagi sebuah TUJUAN, sebaliknya tenggelam dalam mengejar KEPERLUAN (yang tidak pernah cukup dan memuaskan).

Saya akur dengan nasihat Ustaz Harun. Jiwa gementar memikirkan liku-liku perjalanan ini.


AGENDA BESAR

Sesungguhnya besar sekali makna yang terungkap di sebalik kalimah NAFARA yang difirmankan Allah SWT di dalam ayat ini. Menuntut ilmu di jalan Allah SWT benar-benar sebuah peperangan. Pengorbanan yang diperlukan besar, kerana harganya mahal. Harganya mahal kerana nilainya tinggi. Nilainya tinggi kerana ia AGENDA melahirkan ilmuwan pewaris Nabi.

9_122-i

“… dan supaya mereka dapat memberikan inzar peringatan buat kaum mereka…”

Tugas yang dipikulkan ke atas penuntut ilmu di jalan Allah bukan sekadar memberi Taalim, memberi tahu.

Allah SWT memberitahu bahawa tugas penuntut ilmu di jalan Allah sama seperti tugas seorang Rasul iaitu menyampaikan sebuah INZAR (al-Muddatsir 74: 2). Inzar bukan sekadar memberitahu. Ia lebih dari itu. Inzar memberi pelajaran tentang kebaikan, juga memberi amaran terhadap keburukan. Inzar mengajak kepada yang maaruf, disertakan juga seruan mencegah dan meninggalkan mungkar. Inzar adalah sebuah mesej yang hidup, agar ummah sentiasa berjaga-jaga.


BERMULANYA LANGKAH

Pertemuan itu sungguh bermakna.

Saya bagai dikurniakan ijazah oleh seorang sifu, untuk mengatur langkah menuju ke medan tempur yang penuh kebarangkalian.

Segalanya terungkap dalam sebuah firman. Surah al-Taubah ayat 122 mahkota kurniaan.

Dengan lafaz seeru ‘ala barakatillah, saya memeluk tanpa perpisahan bonda, keluarga dan taulan. Bersama air mata harapan dan azimat at-Taubah 122, saya terbang membelah awan biru, ke bumi Anbiya’ yang sedang menunggu.

“…Di celah pohon zaitun yang rendang
Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam
Menanti dan terus menanti hadirnya
Barisan waris perjuangan…” 

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur